“Hati saya tak tenang” – Nazrey dedah punca sebenar keluar Raihan

BEKAS vokalis kumpulan Raihan, Nazrey mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan nasyid itu selepas memikirkan dirinya bukan seorang yang sukakan populariti.

Kata Nazrey atau nama sebenar Nazrey Johani Abdullah, 50, sepanjang bersama kumpulan itu hatinya tidak tenang kerana hidup dalam perhatian ramai.

“Selama saya dengan Raihan, saya tidak pernah senang hati.

“Walaupun pergi (kerja) ke luar negara, saya tidak pernah memikirkan soal populariti, sebaliknya hanya berfikir tentang kerja sahaja,” katanya.

Nazrey berkongsi mengenai keputusannya meninggalkan kumpulan itu pada 2006 menerusi satu temu bual yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Video:

 

Dalam pada itu, Nazrey berkata dia tidak pernah berasa bangga diri dengan pencapaian mereka meskipun kumpulan itu sudah terkenal di seluruh dunia.

raihan2

Nazrey Johani percaya kepada rezeki Allah.

Malah, dia mengakui sering berdoa kepada Allah SWT untuk diberikan kekuatan meninggalkan kumpulan nasyid itu secara baik tanpa sebarang permusuhan dengan ahli lain.

“Ya Allah, kalau ini bukan tempat saya keluarkan saya dengan cara baik.

“Selalu saya berdoa begitu hampir setiap hari kerana saya tidak mahu populariti itu.

“Hati saya tidak tenang, jadi saya minta doa untuk diberi jalan keluar secara baik daripada Raihan,” luahnya.

Selepas 14 tahun bersama Raihan, akhirnya doa itu dimakbulkan oleh Allah apabila dia nekad meninggalkan kumpulan itu untuk menjalankan kerja dakwah.

“Pada tahun 2006, saya menerima panggilan daripada seorang kawan di Sabah.

“Dia memanggil untuk saya pulang berdakwah di kampung kerana hanya beberapa orang jemaah yang solat di masjid.

“Katanya jika saya datang berdakwah ke sana, ia dapat menarik lebih ramai umat Islam solat berjemaah di masjid.” jelasnya

“Pada satu hari saya seperti dibisikkan dengan satu suara yang berkata… Nazrey kau teruskan kerja dakwah ini tetapi ingat kena yakin dengan rezekiku.

“Sewaktu itu saya merasakan seperti perlu meninggalkan Raihan dan melakukan kerja-kerja dakwah. Saya sempat meminta izin ibu untuk keluar dari Raihan dan Alhamdulillah direstui,” katanya.

Nazrey turut mendedahkan keputusan yang dibuat itu seakan mengundang kemarahan ahli kumpulan yang lain, namun dia reda menerima apa jua reaksi rakan nasyidnya itu.

“Ketika saya mengatakan ingin keluar daripada Raihan, mereka tidak memujuk sebaliknya berkata kalau nak berhenti, berhentilah!

“Sejak itu saya sudah bebas dari Raihan dan menjalani kerja-kerja dakwah di Sabah,” ujarnya.

Untuk info, Raihan pernah mencipta sejarah apabila menerima 17 trofi di Anugerah Industri Muzik (AIM) dan album Pujian-Pujian terjual lebih 1.5 juta unit.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih .

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Beauty with Brain

Sumber: Mafie