- Islamik

Permintaan Suami Ini Amat Menyentuh Hati “Boleh Tak Saya Nak Bacakan Talqin Untuk Isteri Saya”?

Jodoh pertemuan, ajal maut itu adalah rahsia Allah dan setiap yang hidup pasti akan pergi tak kembali. Jadi untuk kita yang masih hidup ini haruslah meneruskan kehidupan dan menunaikan segala tanggungjawab sebaik-baiknya.

Disini kami ingin kongsikan sebuah kisah yang pasti meruntun jiwa dan sanubari anda. Selamat membaca dan semoga ia menjadi teladan untuk kita memperbaiki kelemahan yang ada. InshaAllah.

Gambar hiasan

“Sayang, Nanti Kita Jumpa Di Syurga…”

Suatu petang, saya menerima satu panggilan telefon, pemanggil tersebut meminta saya menguruskan jenazah ibunya.

Seperti lazimnya apabila sudah diamanahkan, saya bergegas dan tanpa melengah-lengahkan masa menuju ke rumah pemanggil tersebut yang kebetulan letaknya tidak jauh dari kediaman saya. Saya tiba ketika hari sudah lewat petang. Orang ramai yang terdiri daripada sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai sudah memenuhi kediaman tersebut.

Saya melangkah masuk, bertemu dengan suami dan anak-anak Allahyarham. Selepas berbincang, kami mendapat kata sepakat iaiti jenazah akan diuruskan pada keesokan harinya kerana hari sudah lewat dan siang sudah bertukar malam.

Petang itu, jenazah hanya dibersihkan dengan mengelap tubuhnya menggunakan kain. Ia dilakukan sambil dibantu anak-anaknya seramai empat orang, 2 lelaki dan 2 perempuan. Kesemuanya sudah besar dan ada di antaranya sudah berumahtangga.

Pada keesokan harinya, seawal pagi, saya tiba semula ke rumah tersebut. Apabila kami sudah mahu memandikan jenazah, salah seorang anak arwah datang kepada saya.

”Boleh tak kami nak mandikan sendiri jenazah ibu kami?” tanya si anak tadi.

”Boleh,” jawab saya, senang hati sungguh mendengar permintaan si anak.

Memang itulah sebaik-baiknya. Lebih afdal anak sendiri yang menguruskan jenazah ibu bapa mereka.

”Tapi Ustazah, kami ni tak pandai. Kami tak tahu apa-apa. Ustazah ajarlah kami”, beritahu seorang lagi anak perempuan arwah.

”Takde masalah. Saya boleh bagi tunjuk ajar, jawab saya.

Ingatkan itu permintaan anak perempuan sahaja, rupa-rupanya 2 orang anak lelaki & suami Allahyarham mahu turut serta memandikan jenazah. Jika itu permintaan mereka, saya bersetuju, lagi pun Islam tidak melarang kerana memang seorang suami boleh memandikan jenazah isterinya dan begitulah sebaliknya.

Namun disebabkan anak-anak lelaki juga mahu memandikan sama, saya terpaksa membahagi-bahagikan tugas. Si suami, saya minta membersihkan bahagian kepala, anak lelaki di bahagian kaki & anak perempuan dari bahagian badan membawa ke paha.

“Ambil sarung tangan ni seorang satu,” ujar saya sambil menghulurkan sarung tangan getah untuk digunakan bagi memandikan jenazah. Tetapi, suami & anak-anak menolak.

“Masa kecil, ibu mandikan kami tak pernah pakai sarung tangan. Kami tak mahu pakai,” tolak si anak lembut.

Saya sedikit tersentak apabila mendengar kata-kata itu. Kagum saya dengan jawapan si anak dan terharu mendengarnya.

Kemudian, seterusnya saya pegang paip getah dan lalukan air ke muka jenazah. Si Suami mula membersihkan wajah isterinya. Ketika Si suami membersihkan wajah isterinya, satu drama yang menyayat hati dan penuh emosi berlaku.

Sambil menggosok lembut wajah jenazah isterinya, si suami tadi mengungkap kembali satu persatu segala kenangannya ketika mereka hidup bersama.

”Sayang…inilah wajah manis yang abang tatap masa hidup. Inilah wajah yang abang pernah sayang. Wajah yang pernah jadi isteri Abang”, tutur suami sambil tangan lembut membersihkan wajah jenazah isteri tercinta.

Selesai pada muka, suami tadi beralih pula ke mulut, sekali lagi ungkapan manis terpacul dari mulut si suami.
Sayang…inilah mulut yang selalu senyum pada abang. Inilah mulut yang selalu berbual dengan abang, hiburkan abang selama ni, mulut yang berikan abang semangat ketika berdepan masalah“, ungkapnya dengan linangan air mata.

Saya yang menyaksikan tindakan spontan suami itu turut menjadi sebak. Terharu mendengar kata-kata ikhlas dari suaminya. Saya tahu si suami benar-benar sayangkan isterinya.

Selesai bahagian si ayah, 2 anak lelakinya pula mengambil tempat. Sekali lagi hati saya tersentuh hingga jadi sebak. Sambil membersihkan tangan si ibu, anaknya meluahkan segala jasa ibu mereka.

”Ibu, inilah tangan yang besarkan kami, didik kami, tangan inilah yang suapkan makanan ke mulut kami. Inilah tangan yang dodoikan kami, jari jemari ini yang kesatkan airmata kami. Tangan ini juga yang dukung kami sewaktu kecil. Ibu.. jasa ibu amat besar,” tutur seorang anak lelakinya. Air matanya masih mengalir.

Apabila sampai ke perut, seorang lagi anak lelakinya bersuara, ”Ibu, inilah perut yang mengandungkan kami, terima kasih ibu, lahirkan kami, didik & besarkan kami,” ungkap si anak tersebut. Air mata mereka terus bercucuran.

Bukan hanya mereka, saudara-mara yang menyaksikan turut menangis, apatah lagi saya yang berada di sisi mereka.

Sungguh, waktu itu terasa begitu hening. Suasana sangat pilu. Menyaksikan semua kata-kata ikhlas ini dari suami dan anak-anak si mati.

Apabila selesai tugas anak lelaki, anak perempuan pula melunaskan bahagian mereka. Sambil membersihkan kaki, mereka meluahkn segala jasa-jasa wanita yang melahirkan mereka itu.

”Ibu, inilah kaki yang berjalan mencari rezeki untuk kami. Kaki inilah yang besarkan kami. Kaki inilah yang bawa kami bersiar-siar, hiburkan kami, jasa ibu tak terbalas. Terima kasih ibu,” ujar anak perempuan dengan suara tersekat-sekat.

Sudah banyak jenazah yang saya uruskan, tapi inilah kali pertama saya saksikan adegan yang meruntun jiwa. Hati saya tersentuh hiba.

Menyaksikan semua itu, air mata saya tak dapat dibendung lagi. Sesekali saya berpaling ke arah lain, mengesat air mata yang kian laju mengalir.

Apabila semua anak sudah selesai, saya mengambil giliran semula. Saya mahu membersihkan bahagian du bur. Tapi si suami menolak kerana dia mahu lakukan sendiri.

”Ni isteri saya, biar saya yang buat. Ustazah tolong ajarkan saya,” tutur si suami.

Sekali lagi saya akur dengan kehendaknya. Saya arahkan si suami supaya menekan perut secara perlahan-lahan untuk mengeluarkan najis sisa-siasnya di du bur.

Semasa si suami melakukannya, sekali lagi jiwa saya bagai dirobek-robek. Jiwa saya tersentuh mendengar lafaz ikhlas suaminya. Sambil menekan lembut perut isterinya, si suami bersuara lagi.

“Sayang, ini rahim yang melahirkan anak-kita kita, menghasilkan zuriat kita, terima kasih Sayang,” tutur si suami lembut dengan matanya berkaca-kaca.

Sekali lagi air mata saya tertumpah. Di luar pula, air mata saudara-mara yang menyaksikan drama itu semakin laju.

Saya tahu semua yang menyaksikan terharu. Saya sendiri turut tersentuh dengan sikap keluarga ini. Sungguh, suaminya memang seorang yang baik dan sangat menghormati jasa seorang wanita bergelar isteri.

Selesai dimandikan dengan drama-drama meruntun jiwa, jenazah dibawa ke ruang tamu untuk dikafankan pula.
Pun sama, kerja ini dilakukan oleh anak-anak dan suami arwah dengan tunjuk ajar saya. Walaupun mengambil masa yang agak lama, semuanya selesai dengan mudah sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan.

Tugas ini saya serahkan pula kepada suami saya. Selepas kubur dikambus & suami saya hendak memulakan bacaan talqin, suami Allahyarham datang meminta izin.

”Ustaz, boleh ke saya nak bacakan talqin untuk isteri saya?” tanya dia kepada suami saya.

Suami saya mengangguk dan si suami tadi mengambil tempat di sebelahnya. Dalam keadaan suara yang serak kerana masih bersedih, si suami tadi memulakan bacaan. Bacaan kali ini memang lain sekali dari kebiasaannya.

”Sayang, hari ini adalah hari terakhir kamu di muka bumi ini. Kamu berpisah dengan anak-anak, Sayang berpisah dengan Abang.

“Sayang.. malam ini Abang akan berteman hanya dengan anak-anak di sisi Abang.”

“Sayang, nanti akan datang malaikat mungkar dan nakir bertanya. Siapa Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah kiblat kamu? Apakah pegangan iktikad kamu? Siapakah saudara-saudara kamu?

“Abang minta tolong dari Sayang, jawab dengan tenang, dengan lidah lancar, Bahawasanya Allah Tuhanku, Muhammad Nabiku, Islam Agamaku, Al-Quran Petunjukku, Org Islam adalah saudara-saudaraku,” tutur si suami dengan sebak. Si suami tadi menyambung,

“Nanti kita akan berjumpa semula di Syurga. Sayang tunggu Abang di sana. Abang akan tetap merindui Sayang hingga akhir hayat Abang.”

Sungguh, waktu itu sekali lagi air mata saya berderai, bukan saya sahaja, hadirin lain pun sekali lagi menangis. Saya tahu mereka menangis & bersedih bukan kerana pemergian Allahyarham, tapi tersentuh melihat kejadian tersebut.

Satu drama yang benar-benar berlaku, memperlihatkan kasih sayang, kejujuran, kesetiaan dan cinta yang tulus ikhlas dari seorang suami kepada isteri. Kisah kasih sayang antara anak-anak dan ibu dalam keluarga ini.

Saya benar-benar kagum dan terharu dengan keluarga tersebut. Si anak bukanlah berpendidikan tinggi atau berlatarbelakang agama bergelar ustaz atau ustazah, tapi mereka semua mempunyai budi pekerti dan akhlak yang tinggi.

Lihat bagaimana mereka menghargai jasa seorang ibu sehingga ke akhir hayat. Bagi saya, mereka jadi begitu hasil kejayaan didikan seorang ibu yg berjaya memberikan kasih sayang & didikan dengan sempurna. 

Sungguh, jenazah wanita itu seorang yang bertuah memiliki suami dan anak-anak seperti itu.

SubhanAllah

Alhamdulillah

Allahu Akbar

sumber: sinar.my via sweet nutella

error: Content is protected !!