- Uncategorized

Datuk Yusuf Haslam Bina Masjid Di Palu, Nama Masjid Itu Sempena Nama

PENERBIT yang juga Pengerusi Skop Productions Sdn Bhd (Skop), Datuk Yusof Haslam semalam menyerahkan cek sumbangan dana untuk pembinaan masjid di Palu, Sulawesi, Indonesia.

Menurut Yusof, sumbangan itu atas dasar kemanusiaan dan ingin membantu saudara seagama yang dilanda bencana alam di negara itu.

“Niat saya dan seluruh produksi Skop adalah untuk membantu saudara kita yang ditimpa musibah bencana alam baru-baru ini.

“Insya-Allah, pembinaan masjid ini akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka selesai sebelum Ramadan,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai jumlah sumbangan yang diserahkan kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) selaku pengelola projek Masjid Wakaf Skop Productions itu, Yusof berkata, ia cukup untuk menampung 300 jemaah.

“Jumlahnya tak perlulah saya kongsikan. Tapi, yang pasti, masjid ini nanti cukup untuk menampung sehingga 300 jemaah,” katanya.

Beliau yang masih berada di Jakarta berkata, itu adalah projek pembinaan masjid pertama dengan kerjasama MAPIM.

“Selepas ini akan ada empat lagi projek pembinaan masjid bersama MAPIM dan dibina di kawasan ditimpa bencana,” katanya.

Diminta kepastian mengenai nama masjid berkenaan yang khabarnya akan mengabadikan nama ibunya, Allahyarhamah Bahyah Talib, Yusof berkata semuanya masih dalam perbincangan.

“Mengenai nama masjid ini, belum diputuskan lagi. Semuanya masih dalam perbincangan,” katanya.

Dana yang diserahkan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta itu adalah sebahagian daripada hasil keuntungan filem Munafik 2 yang ditayangkan di 116 pawagam Indonesia pada tahun lalu.

Terdahulu, Palu dibadai snami akibat gepa bumi berkekuatan 7.7 skala Richter pada 28 September tahun lalu dan setakat ini, mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 penduduk terkesan daripada tragedi itu.

harian metro