- Petua/Tips

Gemar Berus Gigi Ikan Sebelum Masak. Inilah Perkongsian Tok Besah Tips Memasak Kaedah Tradisi. Boleh Cuba!

BAGI menjamin kebersihan dan keenakan setiap makanan yang dimasak, Tok Besah atau nama penuhnya Bashah Othman, 82, akan membersihkan bahan masakannya dengan teliti dan lebih menarik, dia turut akan memberus gigi ikan yang akan dimasaknya.

Anaknya, Mohamad Ismail Amir, 36, berkata, ibunya sangat gemar memasak dan seingatnya, ibunya itu tidak pernah berhenti memasak sejak 70 tahun lalu.

Maka tidak hairanlah, setiap menu masakannya digilai ramai malah ibunya tidak lokek untuk berkongsi resipi masakannya.

“Tok Besah memang suka memasak dan masakan paling enak dan sering dimasaknya ialah gulai kepala ikan dan kuah laksa.

“Emak memang tukang masak terbaik di kampung, malah kuah laksanya paling diminati orang kampung di Permatang Tok Gelam, Butterworth, Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, ibunya mengamalkan beberapa tips memasak dan masih mengekalkan kaedah tradisi dan kebersihan yang dijaga dengan rapi.

Katanya, setiap resipi yang dihasilkan perlu dan wajib memenuhi beberapa kriteria antaranya bahan mentah yang digunakan mesti segar dan asli.

“Ibu tidak pernah langsung menggunakan bahan perasa tiruan dalam setiap masakannya.

“Setiap masakannya masih mengekalkan unsur tradisi seperti membakar belacan, membuat kerisik sendiri, menghasilkan minyak kelapa dan pelbagai lagi,” katanya.

Mohamad Ismail berkata, Tok Besah belajar memasak dari arwah ibunya Che Liah Din, yang juga sebahagian wanita Kampung Permatang Tok Gelam yang hebat memasak di tahun 1900-an.

Katanya, dia adalah anak bongsu daripada tiga beradik, kakak sulung dan abangnya tidak berapa gemar memasak dan memasak biasa-biasa sahaja.

“Berbeza dengan saya, sejak kecil saya tinggal bersama ibu dan sejak itu saya mula mempelajari ilmu masakan darinya.

“Dahulu saya selalu membantu ibunya memasak dan kini saya dapat menguasai semua masakan ibu,” katanya.

Mohamad Ismail berkata, hasil didikan ibunya dalam masakan, dia berjaya menyertai rancangan MasterChef Malaysia musim kedua dan berjaya sehingga ke peringkat 10 terbaik daripada 40 peserta.

“Namun saya terpaksa menarik diri kerana permohonan cuti tanpa gaji saya sebagai guru sudah tamat tempoh dan kembali mengajar di sekolah,” katanya.

Menurutnya, walaupun pandai memasak ibunya tetap menggemari masakan lain dan dia paling gemar menjamah pasembor Padang Kota, Geogetown dan satay.

Katanya, dia pernah merakam video ibunya membersihkan ikan dan memberus gigi ikan itu supaya bersih.

“Video itu kemudian dimuat naik sehingga mendapat perhatian ramai pengguna laman sosial yang menganggapnya unik.

“Sejak itu, ibu saya muka dikenali malah ada yang menyukainya dan menghantar pakaian dan hadiah kepadanya,” katanya.

Mohamad Ismail berkata, ia perkara yang sering dilakukan ibunya ketika menyiang ikan, malah dia juga akan menggunakan berus gigi untuk membersihkan perut ikan.

Katanya, ibunya amat menitik beratkan kebersihan makanan, baginya setiap makanan yang hendak dimakan haruslah bersih dan halal kerana ia menjadi darah dan daging kita.

Katanya, setakat ni ibunya tidak pernah membuat kelas masakan dalam talian namun dia ingin bekerjasama dengan pihak di luar sana yang berminat untuk membukukan semua resepi masakan tradisional ibunya.

“Jika ada rezeki, saya juga ingin membukukan resepi warga emas yang lain atau dapat mengadakan satu segmen masakan warisan,” katanya.

Mohamad Ismail berkata, ibunya juga ada bercadang untuk membuka sebuah restoran dan menamakannya sebagai ‘Teratak Makan Tok Besah’ namun dan berharap ia akan menjadi kenyataan kelak.

Bapa Mohamad Ismail, Amir Arif sudah meninggal dunia pada tahun 2003 ketika ibunya berusia 70 tahun.

Menurutnya, ibunya sangat meminati Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan menanam impian untuk bertemunya satu hari nanti.

Kredit : Metro