- HIburan

“Kalau tak cantik, siapa nak tengok drama?” – A Aida Cakap Jangan Pertikaikan Kerana…

Penerbit Datuk A. Aida yang dihentam netizen dan rakan-rakan artis mempertahankan kenyataannya iaitu rupa paras sangat penting untuk seseorang menjadi pelakon. Baginya perkara itu adalah realiti kehidupan dan tuntutan masyarakat masa kini.

Menurut A. Aida atau Zaidah Awang, 48, perkara itu tidak perlu dipertikaikan kerana industri lakonan era kini sememangnya memerlukan pelakon-pelakon utama yang mempunyai rupa-paras menarik kerana semuanya adalah berdasarkan ‘bisnes’.

“Mereka kena terima hakikat dan jangan jadi hipokrit. Sebab sememangnya setiap drama semua menggunakan pelakon utama yang mempunyai wajah yang cantik dan tampan.

“Itu adalah realiti kehidupan dan tuntutan masa kini. Kenapa nak pertikaikan. Selebriti yang menyelar kenyataan saya itu mungkin tak faham.

“Kalau tidak, siapa yang nak tengok drama tu? Bagi saya, bakat itu boleh digilap. Tapi rupa itu sangat penting untuk melariskan sesebuah drama,” katanya.

Noorkhiriah, Que Haidar dan Ogy Ahmad Daud antara selebriti yang tidak bersetuju dengan kenyataan A. Aida.

A. Aida juga diminta mengulas mengenai komen beberapa pelakon yang tidak bersetuju dengan komennya iaitu pelakon masa kini yang hadir ke sesebuah uji bakat perlu memahami bahawa paras-rupa menjadi pilihan utama untuk diambil sebagai pelakon.

Kata A. Aida, masih ada banyak lagi program yang disediakan untuk mempertengahkan bakat tanpa memikirkan soal rupa paras seseorang itu.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika sesi uji bakat lakonan sempena Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) pada minggu lalu.

“Saya mengeluarkan kenyataan berkenaan rupa itu penting berdasarkan pencarian pelakon utama menerusi sesi uji bakat DFKL2019. Tak ada niat pun nak menghina ciptaan Tuhan.”

“Ada sahaja peserta yang hadir di sesi uji bakat itu, saya suruh dia cuba menyertai program lain yang mempertengahkan bakat tanpa menekankan soal rupa,” ujarnya.

“Kalau tanya fasal program lain seperti Bintang Mencari Bintang iaitu rancangan bakat yang tidak menkankan paras-rupa, memang saya akan memberi komen perihal mengenai kepentingan bakat la. Sebab program itu memang berdasarkan bakat.”

Dalam pada itu, A. Aida memberitahu dia tidak ambil peduli dengan komen-komen netizen yang mengaitkan wajahnya.

“Saya tak kisah pun dengan komen-komen negatif negatif. Wajah saya tak ada kena mengena dengan kerjaya lakonan sebabnya saya bukan lagi pelakon tapi penerbit.

Malah, dia sudah menyekat lebih 500 netizen di laman sosialnya kerana tidak mahu mempunyai pengikut yang negatif memberi komen.

“Sejak semalam, saya dah sekat lebih 500 netizen di laman sosial yang meninggalkan komen negatif. Saya tak mahu dikelilingi dengan orang sebegitu,” katanya.

Dari kiri; Fasha, Erma Fatima dan A. Aida sebagai juri sesi uji bakat DFKL2019.

Tambahnya lagi, semua pihak harus faham bahawa dunia lakonan adalah sebuah bisnes dan stesen televisyen yang menyiarkan sesebuah drama itu mengharapkan ada pengiklanan dalam produk mereka.

Jika rating baik, stesen mempunyai sumber pendapatan lebih dan hasil daripada itulah akan dibayar kepada sesebuah syarikat produksi.

“Ia adalah hakikat sebenar dunia lakonan di negara ini sekarang. Jangan la nak bandingkan dengan Hollywood atau Bollywood kerana mereka corak pemikiran penonton mereka berbeza dengan kita,” ujarnya.

Justeru, selain bakat lakonan, pihak stesen menekankan juga soal-rupa paras seseorang pelakon kerana ia boleh menarik jumlah tontonan atau rating yang seterusnya menyumbang kepada pendapatan iklan.

Sumber: Mstar