- Petua/Tips

Patutlah murid ini cemerlang, rupanya sekolah di Qatar buat ini…

Sebelum ini, ibu kepada kanak-kanak cilik yang petah loghat Kelantan, Fatimah Omar Mukhlis, 5, Nor Ashila Mahamed Ismail, 39, ada berkongsi pengalaman berkenaan sistem pembelajaran dan juga kaedah komunikasi antara pihak sekolah dengan ibu bapa di United Kingdom.

Kali ini, giliran seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap hampir lapan tahun di Mesaieed Qatar pula berkongsi pengalaman yang sama, iaitu menggunakan emel untuk berkomunikasi.

Nuhrul Azuwad Hashim, wanita asal Jelebu Negeri Sembilan ini menjelaskan, selain komunikasi, sistem pembelajaran di Qatar juga berbeza dengan di Malaysia.

Anak-anak yang bersekolah menengah dan rendah akan memulakan persekolahan pada jam 7.15 pagi dan berakhir pada jam 2.30 petang. Namun mereka akan melalui dua kali waktu rehat, berbeza di Malaysia yang hanya sekali masa rehat.

“Peperiksaan juga akan bermula ketika anak-anak berada di tahun empat. Ia bukan untuk menentukan anak dapat nombor berapa di dalam kelas, sebaliknya sebagai penilaian peratusan kemahiran dan IQ.

“Di sini memang tiada istilah berebut kedudukan dalam kelas. Setiap orang perlu belajar bersungguh-sungguh untuk diri sendiri. Selepas peperiksaan barulah ibu bapa akan bertemu dengan guru kelas bagi membincangkan permasalahan berkaitan di sekolah,”katanya kepada GPSBestari.

Terang Nuhrul lagi, ketika berada di tahun 10, guru akan mula menilai pelajar mengikut kecenderungan masing-masing.

“Menerusi penilaian itu, guru tutor akan cadangkan subjek apa yang sesuai diambil oleh anak-anak ketika peperiksan GCSE (General certificate of secondary education) nanti. Dengan cara ini anak-anak tidak lagi rasa tertekan dan terbeban dengan subjek yang mereka sendiri tidak minat,”katanya.

Jelas Nuhrul, setiap kelas mempunyai paling ramai, 25 orang pelajar dan seorang pembantu guru.

“Selain itu, setiap anak juga akan diberikan sebuah buku catatan oleh cikgu. Di dalamnya akan ditulis segala memo, trip, peringatan, dan aduan. Ini bagaikan buku wajib yang perlu disemak, dibaca dan ditandatangani oleh ibu bapa setiap hari.

“Menariknya di Qatar anak-anak tidak diasingkan kelas mengikut markah atau gred, cuma mana-mana anak yang kurang fokus akan diberikan kelas tambahan selama sejam,”ujarnya.

Tambah ibu anak lima ini, anak-anaknya juga seronok belajar di Qatar. Tiada tekanan belajar dan mereka didedahkan dengan kemahiran dalam satu-satu projek.


Sistem emel
Nuhrul turut menjelaskan, komunikasi antara guru dan ibu bapa juga adalah melalui emel. Terutamanya hal-hal yang berkaitan tentang pembelajaran, informasi, dan juga ketidak hadiran anak-anak ke sekolah.

“Ibu bapa memang tidak menyimpan nombor telefon guru kelas anak-anak. Berbeza di Malaysia, ibu bapa bebas bertanya apa sahaja tidak kira masa melalui aplikasi whatsapp masing-masing.
“Di Qatar, sekiranya ada sebarang pemberitahuan atau berlaku ribut pasir dan sekolah terpaksa dibatalkan, setiap ibu bapa akan diberitahu melalui emel. Kemudian pemakluman tersebut akan kami kongsi dengan ibu bapa lain.

“Sementara anak-anak, mereka memang ada group Whatsapp sendiri. Sebarang aktiviti kelas dan pemakluman terkini boleh diperoleh daripada kawan-kawan kelas mereka,”katanya.

Malah katanya lagi, sekiranya berlaku sebarang masalah atau ada kemusykilan yang ingin disampaikan kepada guru, ia boleh dibincangkan melalui pertemuan yang diaturkan di sekolah.

Ketika itulah peluang untuk ibu bapa nyatakan ketidakpuasan hati, dan juga cadangan untuk meningkatkan prestasi anak masing-masing.

sumber GPS bestari

About videoviral

Read All Posts By videoviral