- Viral

‘Pembawakan Budak’ Bila Hamil Anak Ke-3, Suami Kongsi Perangai ‘Pelik’ Isteri

Tempoh kehamilan selalunya memberi banyak pengalaman, samada pahit dan/atau manis buat pasangan suami isteri terutama bagi yang akan menyambut kelahiran cahaya mata sulung. Ia sesuatu yang sangat mengujakan.

Namun jika isteri menghidap alahan pada bau dan tak selera nak tengok muka suami pastinya menjadi sesuatu yang mencabar buat si suami, lebih-lebih lagi ia berlaku bukan pada kehamilan pertama tetapi yang ketiga. Perangai ‘pelik’ isteri sebegini tidak ramai yang berpeluang menikmatinya.

Itu yang dialami Rahazif Mat Rashid, 35, apabila terpaksa bersabar melayan ragam isterinya Nur Zaitulsyima Ariffin, 35, yang sentiasa mengelak bersama atau dekat dengannya sehingga membuatkan dia terasa hati.

“Kalau saya tanya, dia jawab sepatah je.” 

“Apabila saya masuk bilik dia keluar, bila saya keluar, dia masuk bilik. Tapi dengan orang lain dia sembang gelak-gelak macam tiada masalah.”

“Dia mula berperangai pelik selepas doktor sahkan dia hamil dua minggu. Tiba-tiba saja dia meragam, tak nak dekat, tak nak bersembang dengan saya. Mungkin sebab saya berbau ke? Tapi saya spray minyak wangi pun dia tak suka juga,” katanya.

Menurut pembantu jurutera Jabatan Pendidikan Negeri Perak ini, dia menjadi buntu apabila karakter isterinya yang periang dan penyayang selama ini tiba-tiba bertukar sekelip mata selepas disahkan hamil. Dia keliru sebab ia tidak berlaku semasa hamil anak pertama dan kedua.

“Mula-mula saya bengang juga kenapa dengan dia ni, macam tak suka saya. Ada saya buat salah ke. Sepanjang dua bulan lebih perangai dia macam tu, saya hanya bertahan.”

“Saya pun pelik nak masuk anak ketiga baru isteri saya berperangai pelik macam ni. Anak pertama dan kedua kami dia tak macam ni,” katanya sambil tergelak kecil.

“Sehingga satu hari saya cuba berbual dengan mak ayah mertua saya kalau-kalau dia (isteri) ada berkongsi masalah dengan mereka. Rupa dia memang ada beritahu dia tak suka tengok muka saya dan mak cakap ia mungkin ‘pembawakan budak’.”

Rahazif berkongsi pengalamannya berdepan kerenah isteri gara-gara pembawakan budak mendapat perhatian ramai di Twitter.

Kisah Rahazif sangat menarik sehingga menjadi perhatian ramai sehingga menerima lebih 4,000 ulang kicau dan sebanyak lebih 2,000 tanda suka di laman Twitter.

Rahazif mengakui ini kali pertama dia berdepan situasi berkenaan meskipun isterinya itu kini hamil anak ketiga.

“Biasa kalau keluar balik lambat, dia akan Whatsapp atau call saya. Tapi dalam masa dua bulan lebih tu dia langsung tak kisah kalau balik lambat pun.”

“Ini kali pertama saya merasai pengalaman begini. Sebelum ini, saya dengar ibu mengandung alah pada minyak wangi, mengidam nak makan… tapi tak pernah pula kritikal sampai tak boleh tengok muka.”

“Tetapi itu bukan alasan untuk saya cari yang lain,” ujarnya.

Tambah Rahazif, pelbagai usaha dilakukan untuk mengambil hati isterinya itu namun segalanya tidak membuahkan hasil sehinggalah usia kandungan memasuki lima bulan. Secara tiba-tiba, segalanya kembali normal.

“Saya ada cuba pujuk dia. Bawa dia keluar jalan-jalan, tanya dia nak makan apa, saya belikan dia kasut tapi terima kasih pun tidak.”

“Lepas dia dah okay ni saya ada cuba tanya dia balik, kenapa dia lain dengan saya, dia tak nak beritahu tapi hanya gelak sahaja,” kata Rahazif yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga bersama suri hatinya itu.

“Kepada lelaki yang jadikan situasi begini sebagai alasan untuk dia mencari pasangan baharu, memang tidak patut.

Selain itu, Rahazif turut berpesan kepada lelaki yang mungkin berdepan situasi sepertinya untuk bersabar dan mengawal emosi kerana reaksi isteri hamil kadang-kadang tidak masuk akal.

“Sepatutnya mereka mencari pendekatan bertemu mak ayah, ustaz atau kaunselor untuk selesaikan masalah.

“Pasang dua ke tiga bukan boleh selesaikan masalah dengan isteri pun,” akhirinya.

Rahazif bersama isteri dan dua anaknya bergambar kenangan bersama penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob dan Imran Ajmain.

Sumber: Mstar

error: Content is protected !!