Selepas Beri Bunga, Ara Johari Tujukan Paku Kepada Peminat

Selepas kejayaan single Bunga, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2016, Ara Johari muncul dengan single terbaru yang berjudul Paku.

Biarpun muncul di arena seni tempatan pada usia yang agak muda, pemilik nama penuh Nurfarrah Izzatie Johari ini tidak pernah mengenal erti penat.

Bermula dengan lagu Warkah Untukku dan seterusnya cemerlang dengan Bunga, Ara mengorak langkah baru dan berhasrat untuk terus memberikan yang terbaik kepada peminat.

Kali ini, Ara tampil dengan mempertaruhkan sebuah lagu yang dicipta oleh Kadok dan Tukang Musik manakala liriknya dihasilkan sendiri oleh Ara bersama Shasha K.

Mengisahkan mengenai perasaan cinta seorang lelaki yang terpendam terhadap pasangannya, lagu Paku menceritakan perihal jejaka yang sanggup menunggu bertahun lama dan tetap berusaha untuk menambat hati wanita yang diingininya.

Berkat doa dan kesabaran, akhirnya jejaK dan wanita pilihannya itu bersatu dan membina mahligai bersama.

“Ara merupakan seorang penyanyi muda wanita yang berbakat besar. Kehebatan vokal Ara tidak perlu lagi dipersoalkan.

“Kita boleh lihat menerusi dua singlenya sebelum ini, ia berjaya menaikkan nama Ara di persada seni tempatan.

“Besar harapan kami agar lagu Paku dapat mengulangi kejayaan dua buah lagu Ara yang terdahulu,” kata Feros selaku Ketua Label Muzik Rocketfuel Entertainment.

Single Paku diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment dan bakal menemui peminat di corong-corong radio seluruh Malaysia tidak lama lagi.

Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Ia juga boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Sumber: IG Ara Johari, Gempak

Advertisement
In-article ad unit to be placed in the middle of the article: