Penyanyi Rohana Jalil yang menerima rawatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor akibat kebocoran usus sejak April lalu masih belum sembuh.
Menurut laporan mStar, pengurusnya yang dikenali sebagai Jepun berkata, Rohana atau Dara Abdul Jalil berada dalam keadaan lemah tetapi stabil.
“Sekarang ini doktor tidak boleh buat apa-apa kerana keadaan Rohana terlalu lemah dan kalau nak buat prosedur rawatan seterusnya pun agak susah.
“Rohana tak boleh makan atau minum dan hanya bergantung kepada antibiotik untuk sembuhkan usus yang bocor itu,” katanya.
Jepun berkata, penyanyi berusia 68 tahun itu tidak lagi berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) disebabkan penggunaan mesin perubatan juga sudah tidak mampu merawat.
“Dia sudah tidak boleh dirawat di ICU kerana penggunaan mesin-mesin rawatan semuanya tidak lagi memberi kesan terhadapnya.
“Disebabkan usus telah bocor, kuman-kuman semua telah menyerang ke organ-organ seperti paru-paru dan buah pinggang,” ujarnya.
Malah, doktor memaklumkan bahawa terdapat potensi jantung Rohana berhenti pada bila-bila masa oleh kerana sudah tidak terdaya lagi untuk melawan akibat kuman sudah merebak ke organ utama.
Bercerita mengenai punca, Jepun berkata penyanyi lagu Rayuanku itu melakukan pembedahan bariatrik demi menyelesaikan masalah gastrik dua tahun lalu, atas nasihat doktor pakar perut.
“Cuma kesilapannya apabila doktor tidak memberitahu kami keadaan usus Rohana selepas melakukan pembedahan itu.
“Doktor hanya memberitahu usus ada luka dan kemerah-merahan tapi doktor tidak memaklumkan sebenarnya ia sudah menjadi teruk,” kongsinya.
Rohana kemudian hanya diberikan ubat antibiotik selain perlu menjalani rawatan susulan tanpa diminta untuk merujuk ke hospital pakar.
20 tahun menjadi pengurus dan menjaga Rohana, Jepun sekali gus kesal dengan tindakan pihak hospital kerana tidak memaklumkan perkara sebenar kepada mereka.
“Sepatutnya dia sebagai pakar perut menasihatkan kami untuk merujuk kepada doktor pakar.
“Namun, dia ambil tindakan sendiri dan meneruskan dengan rawatan susulan yang mana tidak juga memberikan kesembuhan kepada Rohana,” katanya lagi.
Sumber: mStar (Ain Norman)
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!
Sumber: Sumber