“Bukan Zaki la Baba, (itu) Zaki Yamani orang lain” – Anak Jamal Abdillah

KUALA LUMPUR: Gara-gara ciapan berbentuk amaran ditujukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada individu bernama Zaki Yamani berikutan status biadap yang dimuat naik dalam Twitter, tempias terkena kepada penyanyi remaja, Zaki Yamani.

Ini berikutan ramai menyangka lelaki itu adalah dirinya.

Kesal dengan salah faham yang boleh menjejaskan reputasinya, Zaki atau nama sebenarnya, Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 17, menerusi hantaran dalam Instagram Story (IGs) memberi penjelasan agar tidak ada lagi pihak yang keliru.

“Ramai hantar mesej langsung tanya, tweet ini bukan tuju pada Zaki. Tu Zaki Yamani yang lain.

“Nama sahaja sama. Dah jangan tanya lagi ok. Saya tiada buat salah apapun,” tulis Zaki sambil menyertakan ciapan dinuat naik Anwar, awal pagi ini.

Zaki yang juga anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah memaklumkan susulan ciapan dibuat Perdana Menteri, dia turut terkena tempias apabila ditegur bapanya kerana menyangkakan kenyataan sensasi itu dikeluarkan Zaki.

Zaki membalas mesej, “Bukan Zaki la Baba, Zaki Yamani orang lain.

“Baba pun percaya ke tu Zaki? ujar Zaki yang turut memaparkan tangkap layar mesej yang dihantar bapanya.

Menerusi perkongsian lain, juara program realiti, Famili Duo musim kedua itu turut menjelaskan situasi sebenar ketika menjawab pertanyaan pengikutnya.

“Bukan saya uncle. Terkejut saya,” kata penyanyi Percayaku ini.

Sementara itu, Zaki turut meluahkan perasaan terkilan terhadap individu yang membuat hidupnya huru-hara itu.

“Kepada Pakcik Zaki Yamani, awak dah buat saya kena marah dan huru harakan nama saya hari ini.

“Siapa nak jawab bila ayah saya sound saya ni,” coretnya.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ciapan Twitter mengarahkan seorang individu memohon maaf atas ciapan berhubung keadaan kesihatan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merosot dan sedang menerima rawatan di hospital.

Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan individu yang dipercayai penyokong partinya.

BH semalam melaporkan, Abdul Hadi dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan pemantauan doktor.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut meminta orang ramai berdoa dan melakukan solat hajat untuk kesembuhan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*