Alfatihah ! Zack Idris meninggal dunia

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah era 1990-an, Zack Idris menghembuskan nafas terakhir petang tadi, di Hospital Shah Alam pada usia 53 tahun.

Bekas isterinya, Aliza Rafar berkata, Zack ditidurkan sejak malam semalam selepas dikejarkan ke hospital akibat muntah dan pitam.

“Tadi, saya pulang ke rumah dari hospital dan sampai sahaja di rumah, lebih kurang waktu Asar, saya dimaklumkan bahawa arwah sudah tiada.

“Berdasarkan apa yang saya faham, ia berkaitan dengan kandungan air dalam badan dan dia ada komplikasi jantung,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Aliza, semalam, Zack atau nama sebenarnya Mohd Idris mengadu kepada anak-anaknya bahawa dia rasa lemah dan rasa tidak berdaya.

“Arwah pernah menjalani pembedahan pada 13 tahun lalu. Semalam, dia rasa lemah dan tak berdaya. Katanya, rasa nak pitam. Jadi, dia berbaring.

“Bila dia bangun untuk makan dan minum, dia muntah. Kemudian, kepalanya mula rasa pening. Jadi, anak ajak dia ke hospital. Bila sampai ke hospital, doktor maklumkan bahawa badannya dah teruk.

“Jadi, dia terus dimasukkan ke zon merah kecemasan dan diberi bantuan oksigen seterusnya ditidurkan sejak malam semalam,” katanya.

Zack dan Aliza pernah berumah tangga selama 18 tahun sebelum bercerai lapan tahun lalu. Perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata.

Zack sebelum ini aktif sebagai pelakon dan pengarah, namun, bersara dari dunia seni dan banyak menghabiskan waktu untuk menjaga ibunya di kampung.

Antara karya-karya yang membabitkan namanya adalah filem-filem seperti Johnny Bikin Filem, Penyair Malam, Syukur 21, Black Maria dan Cendol: Kepada Allah Aku Berserah selain teater Sultan Alauddin Riayat.

sumber BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*