Makcik tapau lauk RM32 dituduh mencuri, peniaga dedah helah lepas periksa CCTV… Rupanya pergi kaunter hanya ambil tisu!

SETELAH beberapa kali mengalami kerugian akibat ditipu pelanggan, seorang peniaga sebuah restoran di Kulim, Kedah meluahkan rasa terkilannya di media sosial.

Dalam rakaman yang dikongsikan, dia mendedahkan mengenai helah seorang pelanggan yang mencuri lauk di kedainya.

Dakwa peniaga berkenaan, kejadian curi lauk oleh seorang pelanggan wanita digelar ‘makcik’ itu berlaku pada 19 September lalu sekitar pukul 10 pagi.

“Pelanggan ni mungkin dah niat daripada awal nak buat trick (tipu helah) ni. Seorang makcik ni datang makan dengan kawan dia. Lepas siap makan, dia pergi bungkus lauk.

“Dekat kaunter bungkus lauk tu, sepatutnya boleh bayar tapi dia nak bayar dekat kaunter satu lagi. Pekerja tu pun percaya,” katanya.

Pelanggan didakwa beredar keluar membawa bungkusan makanan tanpa membuat pembayaran.

Bercerita lanjut, peniaga itu memberitahu harga makanan yang dibungkus adalah RM32.

Malah katanya suspek turut beberapa kali mengaku sudah membuat bayaran bagi makanan yang dimakan dan dibungkus.

Tidak sedap hati dengan bahasa badan suspek yang mencurigakan, pihak kedai bertindak memeriksa CCTV bagi mendapatkan kepastian.

“Nampak dia berjalan ke kaunter tapi dia hanya ambil tisu, dia tak tunggu atau hulur duit kepada penjaga kaunter.

“Kemudian dia kembali ke meja makan. Sewaktu kawannya bangun untuk membuat bayaran makanan, dia keluar kedai sambil bawa bungkusan lauk.

“Masa dia keluar kedai, dekat tangan dia tak ada lagi duit. Rupanya dia letak makanan dan datang semula dengan pegang sedikit duit.

Bukan isu halal atau haram tapi perbuatan itu tak elok.

PENIAGA RESTORAN

“Dia pun nak buat helah la kata yang dia dah bayar, ni duit baki. Selepas beberapa kali ulang tayang rakaman, memang confirm dia tak bayar dan beredar macam tu je,” ujarnya.

Hantaran dimuat naik di TikTok itu meraih lebih 349,000 tontonan.

Ujar peniaga ini, perkongsian berkenaan dibuat bertujuan sebagai peringatan kepada peniaga lain agar tidak ditipu dengan helah sama.

Pendedahan dibuat peniaga ini menjadi tular selepas dimuat naik di TikTok.

“Kita jadi tak seronok dan sedih apabila dia mengaku memang bayar makanan tu dan makanan dengan harga RM32 tu bukan sikit. Jumlah lauk diambil bukan untuk makan seorang diri.

“Memang sedih la sikap dia ni. Sudah la seorang makcik, jadi tak seronok la. Bukan isu halal atau haram tapi perbuatan itu tak elok.

“Diminta untuk beringat dan jadikan apa berlaku ni sebagai pengajaran,” jelasnya lagi.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: mstar