
Sekian lama menyepi daripada dunia hiburan tanah air, penyanyi Waheeda Wassini akhirnya akan kembali beraksi selepas 14 tahun ‘menghilang’.
Penikmat muzik tanah air pasti masih teringat lagu berirama Arab, ‘Wassini’ yang pernah menjadi fenomena dan sering dimainkan di corong radio satu ketika dahulu.
Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab turut dikenali menerusi filem lakonannya seperti Jutawan Fakir, Pulangan Anak Mami, dan Nana Tanjung.
Penyanyi berusia 45 tahun itu bagaimanapun mula bersara daripada industri seni selepas melangsungkan perkahwinan dengan penceramah bebas, Akhil Hayy pada 16 Ogos 2009.
Setelah memberi kejutan kepada semua, Waheeda kini mengumumkan akan kembali beraksi dalam dunia seni dan akan mengeluarkan sebuah lagu tidak lama lagi.
Waheeda yang pernah memenangi tempat ketiga Voice of Asia juga mahu lebih dikenali sebagai komposer, pemuzik dan pencerita menerusi lagu-lagu yang bakal dihasilkannya.
Sekembalinya ke dunia muzik Indonesia, Waheeda membawa bersamanya rasa perubahan yang besar dalam menjadikan karya seninya sebagai medium penyebaran ilmu.
Bukan itu sahaja, Waheeda juga mempunyai keinginan untuk membuka ruang kepada mereka yang ingin mencuba nasib dalam industri muzik, lapor Gempak .
“Untuk kemunculan semula ini, saya membawa matlamat untuk menjadikan karya muzik yang dihasilkan sebagai medium utama penyebaran ilmu.
“Saya juga ingin berkongsi ruang dengan bakat seni tempatan yang sudah lama mencuba nasib menceroboh pasaran semasa, untuk berkongsi karya mereka.
“Saya juga terbuka untuk bekerjasama dengan artis dari luar negara bagi mengembangkan lagi pengaruh muzik saya,” katanya memetik laporan Gempak.
Dedah Waheeda, beliau mempunyai impian untuk melihat hasil seni beliau dan anak-anak Malaysia yang lain berkembang dan menembusi pasaran antarabangsa.
Anak kelahiran Johor itu juga sempat mengasah bakat dan kemahiran bermain pelbagai alat muzik termasuk biola dan piano semasa tempoh rehatnya.
Difahamkan, ini antara instrumen penting yang akan terus menjadi penghibur dalam lagu-lagu hasil karyanya yang disulami dengan rentak dan bunyi moden.
Laporan lanjut, Waheeda, yang kini diuruskan sepenuhnya oleh Skyson PR, sedang berbincang untuk bekerjasama dengan beberapa penyanyi di carta teratas.
Hasil kerjasama ini, peminat dijangka dapat mendengar single terbaru Waheeda Wassini pada suku pertama 2024.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Writing by editor sheeba
Sumber : gempak
Leave a Reply