Pelawak yang terkenal dengan suara nyaring, Achey mengakui kerjayanya semakin ‘sendu’ selepas pemergian rakan seperjuangannya, Allahyarham Abam Bocey.
Malah sejak tonggak utama kumpulan Bocey itu meninggal dunia, dua ahli lain iaitu Achey dan Fad sudah lama tidak mendapat tawaran untuk melakukan persembahan.
Tidak hanya berdiam diri, situasi ini menjadi punca pemilik nama sebenar Mohd Nasir Hamzah itu memutuskan untuk mencari alternatif lain bagi menjana pendapatan.
Tidak hanya mengalihkan fokusnya kepada bidang perniagaan, Achey juga sedang menempa nama sebagai pencipta kandungan atau ‘content creator’ di media sosial.
Bukan itu sahaja, pelawak yang berusia 37 tahun itu juga langsung tidak menafikan bahawa dirinya kini menggunakan populariti anaknya, Tiara untuk mencari rezeki.
Walau bagaimanapun, Achey tidak lupa untuk memasukkan sebahagian keuntungan yang diraih ke dalam akaun simpanan bank anak gadisnya itu,
“Bila perniagaan gula-gula yang Tiara usahakan mendapat sambutan, saya pulangkan semula keuntungan dengan membeli van jenazah untuk tujuan kebajikan.
“Setiap 10 peratus keuntungan, kami masukkan dalam akaun simpanannya. Ini kerana kami mahu Tiara tahu duit itu adalah hasil titik peluhnya berniaga sejak kecil.
“Memang saya gunakan populariti anak tetapi lebih kepada perkara positif, bukan perkara yang mengarut,” kata anak kelahiran Johor itu memetik Berita Harian.
Masih mempunyai banyak rancangan yang disusun untuk Tiara, Achey menyatakan bahawa perkara tersebut dilakukan demi masa hadapan anak gadis tunggalnya itu.
Mengulas lanjut, Achey memaklumkan dirinya kini hanya mendapat pelawaan untuk tampil di dalam program lain yang langsung tiada kaitan dengan rancangan lawak.
Achey bagaimanapun reda dengan segala ketentuan dan menganggap apa yang telah berlaku sebagai ujian yang dianugerahkan Tuhan kepada ahli kumpulannya.
“Kami memang sudah lama tak dapat tawaran membuat persembahan di kaca TV, sejak arwah Abam meninggal dunia. Bukanlah nak kata tiada ‘job‘ langsung.
“Jadi pengacara atau program lain yang bukan berbentuk rancangan lawak ada juga saya terima. Cuma untuk sitkom atau program lawak, kami sudah lama tak terima.” Jelasnya.
Terdahulu, Nur Tiara Zinnirah yang baru berusia lima tahun itu berhasil menjual 3,000 pek gula-gula menerusi platform di atas talian dalam tempoh dua jam sahaja.
Sekadar info, Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya mengambil Tiara sebagai anak angkat pada 2018 selepas lapan tahun berumah tangga tanpa kehadiran zuriat.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Writting by editor sheeba
Sumber :metro
Leave a Reply