SIAPA sangka selepas kejayaannya membintangi filem Polis Evo sebagai Inspektor Khai, Shaheizy Sam sekali lagi diberi peluang untuk memainkan watak sebagai pegawai polis dalam filem La Luna arahan M Raihan Halim.
Memainkan watak sebagai Salihin dalam filem itu, Sam mengakui teruja apabila dapat membawa watak anggota polis yang dianggapnya lebih bersifat kemanusiaan dan bukan hanya beraksi dengan pistol semata-mata.
Sam berkata, filem ini memerlukan emosi yang cukup mendalam sekali gus bukan satu tugas yang mudah untuk dilakukan sebagai pelakon.
“Kali ini saya dapat watak polis yang sangat berbeza. Kalau dalam Polis Evo Inspektor Khai sangat luar biasa, ibaratnya orang tembak dia boleh tepis begitu saja, tapi kali ini watak saya membabitkan hati dan perasaan.
Watak saya secara tidak langsung mengingatkan kepada masyarakat yang polis ini juga manusia biasa sehingga kita selalu terlepas pandang. Mereka juga ada hati dan perasaan serta tidak terlepas dengan pelbagai ujian hidup.
“Jujurnya, cabaran saya untuk melakonkan watak Salihin ini lebih kepada bagaimana nak mengawal emosi dan membezakan antara baik dan buruk. Bagi babak aksi pula saya tak rasa mencabar sangat kerana saya pernah lakukan aksi yang lebih mencabar dari filem ini.
“Tapi untuk menghidupkan watak ini cukup berat untuk dibawakan, tambah pula penonton mempunyai jangkaan tinggi dalam setiap karya yang saya bawakan,” katanya.
Mengakui naskhah yang dibawakan kali ini agak ringan, Sam berkata, mesej yang dibawakan dalam filem ini cukup hebat sekali gus akan membuatkan penonton membuka mata.
“Ketika menjalani penggambaran filem ini saya terus ingat pengalaman saya sewaktu berlakon filem Songlap. Filem itu antara karya paling yang paling saya suka.
Kedua-dua filem ini begitu bersahaja, tenang, dan tidak terlalu dramatik, tapi setiap babak yang dilakonkan mempunyai rasa yang cukup mendalam. Penonton akan ketahuinya nanti.
“Saya rasa seronok sepanjang menonton filem ini. Walaupun filem ini nampak ringan dan mudah untuk diterjemahkan tapi mesej yang terkandung dalam filem ini sangat luar biasa,” katanya.
La Luna mengisahkan cabaran seorang wanita (lakonan Sharifah Amani) yang membuka kedai pakaian dalam diberi nama La Luna di Kampong Bras Basah.
La Luna kemudian bertemu dengan seorang pegawai polis berstatus duda (Shaheizy Sam) yang mempunyai seorang anak remaja.
Walaupun mendapat sambutan ramai, namun kedai La Luna mendapat tentangan ketua kampung itu (lakonan Wan Hanafi Su).
Selain Sam, Amani dan Wan Hanafi Su, filem La Luna yang dijangka menemui penonton pada 9 November ini turut dibintangi Nadiya Nisaa, Hisyam Hamid, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan.
Tanpa disedari Sam juga mengakui filem La Luna turut membuka matanya mengenai kasih sayang yang harus diberikan kepada anak-anak yang semakin membesar.
Kata Sam, sebagai bapa dia juga tidak tahu bagaimana ingin menempuh realiti apabila terpaksa melepaskan anak perempuannya untuk bertemu kekasih apatah lagi menyatakan hasrat untuk berkahwin.
“Apabila saya berlakon dalam filem ini minda saya baru terbuka dan kalau boleh saya tak nak anak-anak saya membesar dengan cepat. Saya nak habiskan masa dengan sebaik mungkin sehingga sampai satu masa saya perlu mengizinkan dia untuk berkawan dengan seseorang atau berkahwin.
“Saya tak pernah terfikir bagaimana saya nak melalui semua ini. Ia diceritakan dalam filem ini sehingga saya terdiam dan terus teringat anak-anak. Sebelum ini saya tak pernah rasa anak-anak membesar dengan begitu cepat,” katanya.
Dalam pada itu, Sam turut berkongsi berita gembira kepada peminatnya apabila bakal muncul dalam drama bersiri pada depan selepas hampir tujuh tahun menolak tawaran berlakon drama.
Menurut Sam, dia tiada niat untuk menolak tawaran berlakon drama, sebaliknya proses penggambaran untuk setiap drama bersiri mengambil masa yang panjang dan memerlukan stamina yang kuat.
“Sejak 2016 saya aktif menerima tawaran berlakon dalam filem, tapi saya terlupa yang penonton drama TV menantikan kehadiran saya di kaca TV.
“Jadi saya ambil keputusan untuk terbabit dalam drama bersiri 40 episod dan bakal bergandingan dengan Emma Maembong buat kali pertama.
“Jujurnya nak berlakon drama ini tak semua orang mampu sebab memerlukan stamina yang tinggi. Ini kerana, dalam satu hari proses penggambaran boleh makan masa hampir 16 hingga 20 jam sehari dan perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 babak.
“Namun berbeza dengan filem apabila had waktu bekerja hanya 12 jam sehari dan ada hari mungkin tiga babak saja yang perlu saya buat. Jadi saya ada lebih masa untuk berlatih dan berbincang dengan pengarah dan pelakon,” katanya.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Sumber :metro
Leave a Reply