Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara mekanisme terbaik yang bukan saja menyemarakan semangat patriotisme, malah ia turut membentuk sahsiah dan disiplin diri remaja sekali gus memupuk integrasi nasional.
Bekas pelatih PLKN pengambilan pertama, Siti Nur Izwani Isa, 37, berkata, dia menyertai program berkenaan di Teluk Rubiah, Perak pada tahun pertama pelaksanaannya 19 tahun lalu dan ia memberi banyak memori indah kepadanya biarpun pada mulanya berdebar kerana mereka kumpulan pertama.
“Saya bersekolah di sekolah yang pelajarnya semua Melayu dan apabila menyertai PLKN saya bertemu ramai rakan kaum lain yang ia memupuk semangat perpaduan dengan kehidupan muafakat dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Paling penting ia juga memupuk nilai positif dan murni yang sehingga kini masih diamalkan dalam kehidupan apabila saya sentiasa memastikan semua kerja dilakukan dengan teratur dan juga akan menepati masa. Saya mengikuti modul dengan santai dan gembira,” katanya ibu kepada empat anak itu.
Juruteknik elektrik, Azrin Abdul Bari, 35, yang menyertai PLKN pada 2006 mengakui program yang penuh pengisian berteraskan sahsiah diri, kepemimpinan dan kerjasama itu membantu memupuk tanggungjawab dalam dirinya sekali gus menjadikannya lebih berdisplin.
“PLKN membuka minda remaja, sekali gus ia memberi peluang kepada saya untuk mencabar dan menambah keberanian diri serta menguatkan jati diri. Ia memberi manfaat kepada saya untuk lebih berani dan berkeyakinan dalam semua situasi.
“Kita memang hidup harmoni biarpun berlainan kaum, tetapi saya percaya pada akhir program pelatih akan lebih mengenali dan saling menghormati melalui aktiviti dilakukan kerana itu juga yang saya peroleh daripada PLKN,” katanya.
Motivator dan perunding pendidikan, Amir Syahmi Ahmad, 25, berkata, dia berkongsi pengalamannya menyertai program itu pada 2016 di akaun TikTok untuk mendedahkan PLKN bukan program sia-sia kerana ia penuh dengan nilai kenegaraan, asas ketenteraan dan dapat membina keyakinan diri individu.
Katanya, PLKN adalah memori menyeronokkan dan memberi pengalaman baharu kepadanya termasuk belajar asas kawad, aktiviti bertahan hidup dan perkhemahan yang semua itu turut membantunya berani bersuara, membuat keputusan, menghargai persahabatan serta kerjasama pasukan.
“Nilai diterapkan dalam program menjadi asas kehidupan dan ia memupuk semangat patriotisme serta menyemarakkan perpaduan antara kaum supaya tidak berlaku perselisihan dan kita juga dapat menghayati sejarah kemerdekaan negara,” katanya mempunyai ramai rakan PLKN daripada kaum lain.
Kerani, Atifah Izyani, 37, turut senada dengan pendapat bekas pelatih lain dan program itu meningkatkan semangat kesukarelaan dalam dirinya termasuk bersedia bersama untuk mempertahankan negara dalam apa jua situasi melanda.
Katanya, PLKN penting untuk memupuk semangat cintakan negara yang perlu dibajai seawal usia kecil sehingga remaja supaya generasi akan datang lebih menghargai kesepakatan hidup bersama dalam negara berbilang kaum.
“Modul PLKN banyak memupuk nilai murni dalam kehidupan harian dan banyak aktiviti menarik termasuk aktiviti lasak yang meningkatkan ketahanan dan keberanian diri serta didik untuk berdikari ketika dan selepas program itu,” katanya.
Kakitangan syarikat penerbangan, Nor Shazrin Ilyas, 35, berkata, PLKN adalah aktiviti berfaedah memanfaatkan masa lapang sementara menunggu peluang menyambung pelajaran dan hasilnya dia tidak kekok beradaptasi dengan perkara baru kerana pelatih PLKN dididik untuk berani berdepan cabaran.
“Ia mendidik disiplin diri dengan jadual teratur dan semua yang diajar sepanjang program membantu saya menguruskan kehidupan dengan lebih teratur buat pertama kali berjauhan daripada keluarga ketika menyambung pengajian.
“Latihan fizikal seperti kawad, seni pertahankan diri, bantuan keselamatan serta aktiviti sukan membantu mendedahkan saya dengan kemahiran berkepemimpinan dan ikhtiar hidup serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi,” katanya.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Writing by :Editor sheeba
Sumber :tiktok
Leave a Reply