Pasangan berkahwin pasti mahukan zuriat sendiri. Untung bagi mereka yang mempunyai rezeki awal, sejurus selepas nikah tidak lama kemudian terus ‘melekat’.
Tetapi ada juga pasangan yang perlu menunggu bertahun-tahun sebelum dapat memeluk bayi sendiri.
Bahkan, ada pula yang terpaksa berhabis duit dan tenaga serta perlu kuat emosi serta fizikal untuk melalui pelbagai ujian kesuburan.
Ketahuilah, ini semua adalah rezeki dan sesungguhnya peluang untuk hamil itu pasti ada cuma cepat atau lambat jika tiada berkait rapat soal kesihatan dan sebagainya.
“Siapa tidak mahu zuriat kan, tetapi soal rezeki ini saya dan suami sepakat tidak mahu terlalu memaksa atau mempersoal.”
Demikian jawapan pelakon dan penyanyi, Hannah Delisha tatkala ditanya adakah dia dan suami mempunyai perancangan zuriat selepas berkahwin dua tahun lalu.
Jelas Hannah kepada Utusan Malaysia, dia percaya Tuhan lebih mengetahui waktu terbaik untuk mereka memiliki zuriat dan dalam pada masa sama, terbuka sekiranya dikurnia cahaya mata dalam masa terdekat.
“Ada juga terima pertanyaan berkaitan zuriat ini, tetapi saya dan suami tidak ambil hati. Cuma kadang-kadang terfikir juga. Terutama soal usia dan perancangan masa depan kan.
“Tetapi kami serahkan soal rezeki bulat-bulat kepada Tuhan. Dia lebih tahu,” ujar isteri kepada Imam Shah itu.
Dalam pada itu, pelakon Andai Itu Takdirnya tersebut juga mengakui tidak dapat lari daripada desas desus berhubung keadaan rumah tangganya kerana jarang berkongsi perihal suami di media sosial.
“Banyak sahaja khabar angin saya dengar. Ada yang ingatkan hubungan kami bermasalah, ada juga yang ingat saya belum kahwin lagi. Bukan tidak mahu kongsi, tetapi kami berdua selesa begini.
“Sejak awal perkenalan pun kami jarang kongsi pasal peribadi. Banyak hantaran adalah tentang kerja dan perniagaan.
“Setiap orang ada cara sendiri dan ini adalah pilihan kami. Selagi khabar angin tidak memudaratkan, saya fikir tiada masalah untuk terus privasi sebegini,” kongsinya.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!
Editor : Sheeba
Sumber: Titok
Leave a Reply