Seramai tiga pegawai polis dipercayai dari unit Gerakan Am Bridged Tengah ditahan selepas disyaki mencuri wang sebanyak RM85,000.
Wang tersebut dicuri pegawai berkenaan daripada sebuah premis perniagan semasa menjalankan operasi bersepadu di Jalan Silang, Kuala Lumpur, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata ketiga-tiga pegawai yang berumur 26, 30 dan 35 tahun itu direman selama empat hari bermula kelmarin.
Difahamkan, pegawai itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan orang ramai dilarang membuat spekulasi, lapor Astro Awani.
“Pada 12.36 tengah malam Jumaat lalu, polis menerima laporan tentang kehilangan wang tunai berjumlah RM85,000 di sebuah premis perniagaan di Lebuh Pudu ketika operasi bersepadu membanteras warga asing yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Kes ini masih dalam siasatan dan orang awam diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran awam,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Pegawai terbabit dikatakan dirakam ketika melakukan penggeledahan oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis, namun maklumat itu tidak dimasukkan ke dalam laporan.
Hasil penahanan itu, polis difahamkan turut merampas wang RM63,500, sebuah kereta Perodua Myvi, dua telefon bimbit dan resit pembayaran bagi pembelian tayar dan penyelenggaraan kenderaan.
Terdahulu, sebanyak 1,101 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di Jalan Silang itu kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya tiada dokumen perjalanan.
Ops Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Jalan Silang atau dikenali sebagai ‘Little Dhaka’ itu diadakan untuk membanteras pelbagai kegiatan jenayah.
Dijalankan bermula 11 pagi hingga 3 petang, operasi ini juga dijangka dapat mengawal aktiviti tidak sihat dalam kalangan pendatang tanpa izin (PATI) di kawasan tersebut.
Hasil pemeriksaan terhadap 60 premis, seramai 1,101 warga asing termasuk dua kanak-kanak ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!
Editor : Sheeba
Sumber: Titok
Leave a Reply