Seorang wanita Israel meninggalkan surat penghargaan kepada Briged Al-Qassam, sayap tentera Hamas, atas perkhidmatan khas yang diberikan semasa menjadi tawanan kumpulan itu.
Berita yang disiarkan oleh pejuang Hamas pagi ini mendedahkan pengakuan ikhlas tahanan Israel yang dibebaskan dalam perjanjian pertukaran sebagai sebahagian daripada gencatan senjata kemanusiaan yang bermula Jumaat lalu.
Wanita itu, kata Danyal, sangat terharu dengan keprihatinan Hamas dalam menyediakan segala keperluan mereka semasa mereka dalam tahanan, terutama menyara anaknya, Emilia, seperti darah dagingnya sendiri.
“Kepada jeneral yang telah menemani saya dalam beberapa minggu lalu, nampaknya kita akan berpisah esok tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya atas kemanusiaan luar biasa yang telah anda tunjukkan terhadap anak saya, Emilia.
“Beliau mengakui anda semua, rakan-rakannya, bukan sekadar kawan biasa tetapi seorang yang benar-benar baik dan disayangi,” katanya dalam teks bertarikh 23 November lalu yang diterjemahkan oleh pasukan terjemahan Cinta Gaza Malaysia.
Danyal berkata, pejuang Hamas sabar melayani anak-anak mereka, termasuk memanjakan mereka dengan gula-gula, buah-buahan dan segala permintaan mereka.
“Terima kasih atas khidmat bakti dan masa berjam-jam menjadi penjaga anak saya walaupun ada kalanya dia tidak ada.
“Kanak-kanak tidak sepatutnya berada di dalam sangkar tetapi terima kasih kepada anda dan orang baik yang kami temui sepanjang tempoh ini.
“Saya rasa anak perempuan saya seperti puteri di Gaza kerana dia dari pangkat rendah jadi pimpinan atasan melayannya dengan baik, lembut dan penuh kasih sayang,” katanya.
Di penghujung warkahnya, Danyal berkata, dia amat terhutang budi dengan jasa baik yang diberikan sehingga anaknya meninggalkan Gaza dalam keadaan baik dan tidak mengalami trauma psikologi.
“Saya akan ingat kebaikan yang diberikan di sini walaupun situasi sukar yang anda sendiri hadapi dan kerugian dahsyat yang dialami di Gaza.
“Saya harap kita boleh menjadi kawan baik di dunia ini. Saya doakan anda semua sihat dan sayang anda serta ahli keluarga anda. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Dalam tempoh gencatan senjata selama empat hari, Kementerian Luar Qatar berkata, Hamas membebaskan 69 tahanan manakala Israel membebaskan 150 tahanan.
Secara rasminya, gencatan senjata sementara fasa pertama tamat pada pukul 7 pagi waktu tempatan (1 tengah hari waktu Malaysia), namun malam tadi kedua-dua pihak dilaporkan mencapai kata sepakat untuk meneruskan gencatan senjata selama dua hari lagi sehingga 7 pagi waktu tempatan iaitu Khamis.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Editor : Sheeba
Sumber : instagram
Leave a Reply