“SAMPAI sekarang rasa macam tak percaya.”
Demikian ujar Norshariza Husin, sepupu kepada Allahyarhamah Norzana Hanim Hamzah, 49, pramugari Malaysia Airlines yang meninggal dunia pada Isnin ketika sedang transit di Tokyo, Jepun.
Berkongsi cerita dengan portal hiburan, Norshariza berkata dia tidak dapat menahan tangis sebaik menerima panggilan daripada adik Norzana, Norzarita Hanum yang memaklumkan berita duka tersebut.
“Saya dapat tahu berita sedih mengenai arwah yang dipanggil Kaknim sekitar pukul 8 pagi hari kejadian (Isnin). Adik arwah (Norzarita) yang telefon.
“Pada mulanya saya sangka ibunya yang juga ibu saudara saya yang ‘pergi’ tapi rupa-rupanya Kaknim. Saya memang terkedu dan menangis sebab ia sangat mengejutkan,” ujarnya sebak.
Menurut Norshariza, 46, dia sangat terkesan dengan pemergian Norzana memandangkan hubungan dengan sepupunya itu sangat akrab, apatah lagi beza usia antara mereka hanya tiga tahun.
Norshariza menyifatkan sepupunya seorang yang lemah lembut, suka tersenyum dan pemurah.
“Jika ada kelapangan, memang selalu kami habiskan masa bersama-sama pergi pusat beli-belah, makan-makan dan bercuti bersama.
“Kaknim orangnya sangat tidak berkira. Kalau keluar dengan dia, memang dia tak lokek langsung. Dengan anak-anak buahnya juga sama,” katanya sambil menyifatkan Norzana seorang yang lemah lembut dan sentiasa tersenyum.
Mengimbas kembali pertemuan dengan Norzana, Norshariza berkata kali terakhir mereka bertemu adalah ketika Aidilfitri tahun ini.
“Alhamdulillah kami dapat berkumpul waktu raya puasa hari tu. Masih saya ingat kata-kata Kaknim yang pesan supaya jaga diri. Kaknim juga ucapkan terima kasih sebab selalu datang jenguk ibunya.
“Saya menetap di Banting, ibu Kaknim menetap di Cheras. Kaknim pula menetap di Pajam, Negeri Sembilan. Jadi saya memang selalu ke Cheras dan bermalam di sana.
“Ibu Kaknim adalah kakak kepada arwah ibu saya. Memang saya dah anggapnya seperti ibu sendiri selepas ibu kandung saya meninggal dunia.
“Ibu Kaknim biarpun sedih namun dia tenang menerima berita tersebut. Kami sempat video call… dia cakap, tak sangka arwah yang pergi dahulu,” cerita Norshariza.
Kalau keluar dengan dia, memang dia tak lokek langsung. Dengan anak-anak buahnya juga sama.
NORSHARIZA HUSIN
SEPUPU
Berkongsi lebih lanjut, Norshariza berkata tiga ahli keluarga iaitu suami arwah, suami Norzarita dan seorang ipar mereka sudah berlepas ke Jepun untuk urusan membawa pulang jenazah.
“Jenazah Insya-Allah dijangka tiba di tanah air pada Rabu malam atau pagi Khamis dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka Hulu Langat,” kongsinya.
Dalam pada itu, Norshariza menitipkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan Norzana dan memberi kata-kata sokongan kepada seluruh keluarganya.
Ramai rakyat Malaysia turut terkesan dengan berita kematian Allahyarhamah Norzana.
“Terharu sangat apabila terlalu ramai yang mendoakan arwah Kaknim, ucap takziah dan mengambil berat sama ada yang kenal dan tidak kenal. Terima kasih atas doa semuanya dan sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah,” akhirinya.
Pada Isnin, Malaysia Airlines mengesahkan seorang pramugarinya meninggal dunia ketika sedang transit di Tokyo, Jepun.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata, Norzana sedang bertugas di Narita dan dijadualkan mengendalikan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.
Sehingga kini, punca kematian pramugari berkenaan masih belum dapat dipastikan.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber:tiktok
Leave a Reply